Khamis, 14 Julai 2011

Fantastic!

Orang putih memang pandai menaikkan semangat orang. Tanggapan ini aku buat berdasarkan pengalaman berinteraksi dengan pensyarah-pensyarah di sini. Bukan Mrs. Ivy Brember saja malah Dr.Bob Houlton dan pensyarah yang lain.
      Sewaktu diminta memberikan pendapat, mereka bukan sahaja dengan mudah menyebut Fantastic! Wonderful! dan Excellent! malah sewaktu memeriksa draf tesis juga kata-kata ini terpacul juga.
      Mungkin kerana itu, keyakinan kami untuk mengikuti kelas mereka cukup tinggi. Di samping itu kata-kata seperti ini menyuntik kami untuk rajin ke perpustakaan untuk membuat rujukan atau mencari bahan untuk bacaan tambahan.
      Memang tidak ada perasaan stres sewaktu belajar di sini. Segala-galanya berlaku tanpa dipaksa; malah konsep mencintai ilmu datang sendiri tanpa memikirkan keputusan peperiksaan.
      Kadang-kadang terfikir juga bagaimana semacam seksanya belajar di Malaysia. Sejak tahun satu, ibu bapa mengharapkan anaknya dapat nombor satu hinggalah belajar ke peringkat Ph. D. Macam-macam karenah penyelia yang aku dengar sehingga menyebabkan ramai rakanku menyerah kalah di tengah jalan. Ada saja yang tidak kena di kalangan penyelia walaupun sebahagian mereka mendapat ijazahnya di sini juga.
      Suatu hari, semacam biasa aku menerima pujian lagi. ”Fantastic!,” kata Mrs Brember sewaktu mengulas kerja kursus subjek pengaturcaraan di hadapan kelas. Rakan-rakan lain berpandangan sesama sendiri macam cemburu.
      Seingat-ingat aku kerja kursus itu bukanlah aku buat secara bersungguh-sungguh sangat. Selain tidak berminat sangat dengan bahasa pengaturcaraan,beberapa hari sebelum tamat tempoh penghantaran, aku sempat melancong ke Edinburgh.
      ”Kalau buat macam ini dah fantastic!, bagaimana pula aku buat all-out. Apa pula istilah yang hendak digunakan oleh Mrs. Brember pula,” fikirku.
      Bagaimanapun sewaktu keputusan semester dikeluarkan, aku cuma dapat `C’ bagi kertas pengaturcaraan.

Tiada ulasan: