Manusia sekadar mampu merancang sedangkan Tuhan yang akan menentukan segala-galanya. Nasib malang yang menimpa sepasang kekasih, Nordiana dan Hamdin memang tidak terduga.
Hasrat mereka untuk hidup bersama sebagai suami isteri tidak kesampaian apabila kedua-duanya terlibat kemalangan jalan raya. Kereta yang dipandu Hamdin telah hilang kawalan dan terbabas, serta bertembung pula dengan sebuah lori.
Ketika kejadian, Hamdin dan Nordiana dalam perjalanan ke kampung Nordiana untuk melawat ibu Nordiana yang sakit.
Akibat kejadian, Nordiana mengalami koma selama sebulan dan badannya lumpuh dari pinggang ke bawah. Doktor yang merawatnya, mengesahnya Nordiana tidak lagi mempunyai peluang untuk sembuh seperti sebelumnya.
Lebih menyayat hati, peristiwa malang itu berlaku seminggu sebelum mereka akan diijabkabulkan sebagai suami isteri.
Namun demi membuktikan setianya kepada kekasih dan tunangannya, Hamdin tetap sanggup menerima Nordiana sebagai teman hidupnya, sekalipun pasangannya itu tidak mampu melayan dirinya seperti seorang isteri yang sempurna.
Namun Nordiana tidak bersetuju dengan kemahuan Hamdin. Penolakan itu bukan bermakna dia tidak mencintai kekasihnya itu lagi. Dia sedar, bahawa dirinya bukan lagi insan sempurna yang mampu memberikan kebahagiaan kepada pasangannya, sekiranya mereka hidup bersama nanti. Sesungguhnya dia tidak sanggup menjadi bebanan yang berpanjangan kepada insan yang dicintainya.
Jika Hamdin masih menyayangi dan menyintainya, Nordiana berharap Hamdin sanggup berkorban untuknya. Pengorbanan yang diharapkan oleh Nordiana ialah agar Hamdin sanggup menerima adiknya, Norliana sebagai gantinya. Norliana pula tidak membantah.
Walaupun agak berat untuk Hamdin menerima cadangan itu, namun dia tidak mempunyai pilihan lain untuk membuktikan cinta dan kasihnya kepada Nordiana.
Akhirnya Hamdin dengan rela hati menerima kehadiran Norliana sebagai pasangan hidupnya.
oleh: Mazemie Maz
Tiada ulasan:
Catat Ulasan