Rabu, 27 Julai 2011

Mercedes Lagi

Gedung Membeli Belah Harrod's di Knightsbridge, London
Tidak tahulah. Semacam sesuatu yang wajib, pelajar dari Malaysia khususnya pelajar pascaijazah pasti akan membeli Mercedes sewaktu di England. Kemungkinan utama, harga kereta terpakai itu memang relatif murah di sana.
      Bagaimanapun biasanya, kereta yang dibeli mesti melebihi usia lima tahun. Walaupun kereta bawah lima tahun turut berharga murah, duti import yang dikenakan terlalu tinggi.
      Oleh kerana itulah Mat Salleh di England semacam tahu, kalau ada pelajar memandu Mercedes tentunya dari Malaysia. Suasana itu lebih dirasakan pada pagi Ahad musim bunga, musim luruh atau musim panas. Pelajar-pelajar Malaysia biasanya secara berkumpulan bergerak dari satu tapak ke satu tapak Car Boot Sale yang diadakan sekitar Manchester.
      Aku sendiri mempunyai tiga Mercedes di depan rumah. Untuk mengelakkan suasana sesak di depan rumah, aku, Zul Maulud dan Zawawi dengan bantuan tuan rumah, telah membina garaj kereta yang agak besar untuk kami. 
      Untuk melihat gambaran sebenar jumlah Mercedes yang dimiliki oleh pelajar Malaysia, pernyataan itu dapat dilihat sewaktu sembahyang sunat Aidilfitri di masjid Cheetham Hill pada tahun 1997. Perkarangan masjid yang luas itu tidak dapat menampung Mercedes yang datang bersama pelajar Malaysia yang tinggal sekitar Manchester.
      Bagaimanapun sewaktu aku bersembahyang sunat Aidilfitri pada tahun 1998 (sewaktu mengambil cuti tanpa gaji kerana meneman isteri yang masih belum tamat belajar), aku hanya melihat beberapa Mercedes baru di situ. Mercedes milik peniaga keturunan Pakistan.

Tiada ulasan: