Setelah beberapa bulan, aku bertemu sekali lagi dengan KPPM. Kali ini bukan dalam urusan rasmi; pertemuan itu di R&R Nilai. “Dato’ nak ke mana?,” tegurku ramah sebaik-baik beliau mendekati meja kami.
“KLIA. Nak ke Kuching,” katanya pendek.
Oleh sebab beliau sibuk berbual dengan pemandunya sambil minum petang, aku tidak mahu mengganggunya, apatah lagi aku sendiri bersama keluarga dan bekas bos yang baharu balik menziarahi Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Haji Salim Taib yang sakit di Hospital Kuala Lumpur.
Bagaimanapun kira-kira 10 minit kemudian aku melihat KPPM sedang bercakap-cakap dengan peniaga gerai sambil menunjuk-nunjuk ke arah kami. Di tangannya terpegang dompet duit. Peniaga gerai kelihatan terus mencatat.
Aku , keluarga dan bekas bos terus menemui KPPM apabila melihat beliau bangun untuk beredar.
“Jumpa lagi, Dato’!,” kataku ramah.
“Ini anak nombor berapa?,” Tanya beliau sambil tangannya menghulur sesuatu kepada Siti Atiqah.
“Anak nombor dua, Dato’,” jawabku ringkas.
Semacam malu-malu Siti Atiqah enggan menerima pemberian KPPM.
“Pandai kauajar anak kau. Tak nak terima sesuatu dengan mudah,” katanya dalam nada kebapaan yang tinggi.
“Ambil, Atiqah,” pintaku lembut.
Sambil mencium tangan, Siti Atiqah menerima pemberian KPPM.
Selepas beliau beredar, aku dikejutkan dengan suasana serba salah seorang wanita berusia sekitar 30-an yang duduk di belakang meja kami.
“Saya tak kenal. Macam mana orang tu boleh bayar makanan saya,” katanya semacam termangu-mangu apabila peniaga gerai tidak mahu menerima bayaran makanannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan