Ahad, 24 Julai 2011

Di Pesta Buku

|
Inilah antara penonton pembentanganku... Siti Adnon, staf PPANS dan Syafik sekeluarga
Sewaktu Puan Siti Adnon Haji Abdul Wahid menawarkanku salah satu sesi Bersama Penulis pada Pesta Buku Negeri Sembilan kali ini, aku cukup gembira. Mengapa tidak? Sejak bersara sebagai Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan di IPG Kampus Raja Melewar pada 9 Disember 2009, sudah lama aku tidak bercakap dengan khalayak, seperti sejak lebih 35 tahun lalu.
     Cikgu tetap cikgu! Sebaik-baik menerima amanah, aku terus membuat penyelidikan. Maklumat terkini perlu dikongsi dengan khalayak. Walaupun tajuk yang diberi, sesuatu yang amat dekat dengan diriku – kita tidak boleh take for granted.
     `Internet Sebagai Wahana Pembangunan Minda’ itu tajuknya. “Aaaah! Masih macam dulu. Tajuk perlu nampak sukar dan besar,” getus hatiku walhal kata `wahana’ boleh sahaja diganti dengan `alat’. Maka menghadap komputerlah aku.
     Oleh kerana tumpuan perbincangan lebih kepada perkhidmatan jaringan sosial seperti Facebook dan Blog (ini sahaja nampaknya yang lebih diberi perhatian rakyat Malaysia) aku turut membeli VCD filem The Social Network untuk melihat secara dekat apa tujuan asalnya Mark Zuckenberg mencipta Facebook.
     Untuk manfaat bakal khalayak yang aku jangka memenuhi ruang Pusat Membeli Belah Aeon (Jusco) di Seremban 2 itu, dalam penyediaan slaid Powerpointku, aku turut memuatkan teori Roger Sparry (HOKA dan HOKI)  di samping bahan Print Screen maklumat terbaru perkembangan kedua-dua perkhidmatan jaringan sosial ini.
     Dua hari sebelum tarikh undangan, bahan telah disiapkan tapi aku juga perlu bersedia dengan soalan-soalan yang mungkin tidak dijangka. Ini bukan masalah lagi. Manusia hari ini bukan lagi berhadapan dengan masalah untuk mencari maklumat tetapi bermasalah kerana terkena bom ledakan maklumat – tak tahu memilih yang berguna dan sebaliknya.
     Sehingga lewat petang 22 Julai 2011, aku masih di Niagariang Sdn Bhd untuk mencetak kad perniagaan (business card) yang telah lama habis. “Mungkin ramai yang ingin mendapat penjelasan lanjut nanti. Kad itu boleh memudahkan mereka,” kata hati.
     Sebaik usai maghrib, aku, isteri dan anak berkejar ke Jusco. Toyota RAV4ku dipecut laju. Isteri mengingatkan, kenapa perlu tergesa-gesa lantas kujawab `pemilik majlis’ perlu dihormati. Jam hampir 8.00, mungkin ratusan khalayak sudah menunggu.
     Aku terus meminta isteri mencari parkir kerana jam sudah 7.59 dan Siti Adnon sudah menelefon untuk mengingatkan. Sambil berlari menjenjeng beg berisi komputer bimbit aku terus meluru menemui Siti Adnon.
     “Ah!” aku menarik nafas lega - penonton tiada lagi.
     Hinggalah sesi usai kira-kira jam 9.30 malam – penonton kekal memang tiada. Bagaimana mahu ada, tempat duduknya tiada? Siapa yang ada – Siti Adnon, rakan-rakan staf PPANS dan sesekali orang yang lalu berdiri mendengar seketika termasuk mereka yang menjenguk dari celah-celah gerai buku yang sempit itu.

Tiada ulasan: