Isnin, 25 Julai 2011

Tukang Sapu Dari Venice

Venice memang romantis
“Dari Malaysia?,” lelaki separuh umur itu menegur kami sekeluarga sewaktu kami berjalan menuju jeti kecil untuk ke bot.
      “Ya,” anggukku sambil melontarkan senyuman kepadanya.
      “Saya suka Malaysia!,” katanya ramah. Juga dalam wajah ceria. Di tangannya terpegang penyapu.
      “Kerja di sini?,” tanyaku pula.
      “Ya. Saya tukang sapu. Saya akan memastikan kota air ini sentiasa bersih,” katanya bangga dengan pekerjaannya.
      Hasrat kami untuk mengejar bot yang telahpun membunyikan tanda isyarat untuk berangkat terlepas begitu sahaja. Lelaki Italy itu beria-ia sangat bercerita mengenai Malaysia.
      Katanya Malaysia indah. Katanya rakyat Malaysia ramah. Paling disukainya, di Malaysia beliau dapat merasa pelbagai jenis makanan – Timur dan Barat.
      Menurut Manuel, beliau tidak akan melupakan Malaysia yang baru dikunjunginya kira-kira tiga bulan lalu bersama teman wanitanya.
      Cerita Manuel mengingatkan aku mengenai persepsi sebahagian rakyat Malaysia yang sering menyifatkan pelancong asing itu semuanya orang kaya belaka. Setidak-tidaknya tanggapan terpahat kuat bahawa orang putih yang datang ke negara ini semuanya berkedudukan tinggi.
      Kesan positifnya ada iaitu rakyat Malaysia akan melayan pelancong asing sebaik-baiknya. Bagaimanapun tanggapan ini akan terus bersifat negatif sekiranya kita terus menganggap mereka tuan besar. Bila keadaan ini berlaku, bukanlah sesuatu yang ganjil apabila beberapa peniaga termasuk di kompleks membeli-belah lebih melayan mereka daripada orang tempatan.
      Keadaan ini lebih jelas kelihatan menjelang hari perayaan atau pada musim jualan murah pertengahan atau akhir tahun. Waktu itulah kadang-kadang kita semacam marah atau kecil hati, apabila peniaga tidak berapa melayan kita sewaktu tawar-menawar.
      “Satu sahaja yang saya tidak suka mengenai Malaysia. Ramai peniaga yang tidak jujur.
      “Saya melihat sendiri harga yang dikenakan kepada kami lebih tinggi sama ada di kedai barangan elektronik atau peralatan computer.
      “Pemandu teksi juga mengenakan harga yang berbeza daripada yang tercatat di meter.
      “Kami tidak melakukannya di sini,” kata Manuel jujur.

Tiada ulasan: