Di hadapan Opera House, Sydney |
Pada waktu makan malam itu, kami yang lelaki seolah-olah mengusik pasangan masing-masing supaya berehat saja di bilik kerana letih melalui penerbangan selama tujuh jam itu.
Kami pula memberi alasan untuk melihat Sydney pada waktu malam atas ajakan Jo yang lebih tiga tahun tinggal di sini.
”Saya hendak ajak dia orang berjumpa kawan-kawan lama saya,” kata Jo lembut, menguatkan hujah. Apa yang menghairankan, pasangan kami tidak pula mencurigai apa-apa.
Sewaktu kami bercerita pasal keluar malam itu, Mohd Nor tidak ada bersama. Dia masih di biliknya. Bagaimanapun sewaktu diajak bersama, beliau tidak menolak. Tidak tahulah apa alasan yang diberikan kepada isterinya.
Seperti perancangan asal, kami melihat kehidupan malam di King Cross. Sempat Jo menunjukkan kawasan bekas restoran Allahyarham Abdullah Chik di situ.
Di situ kami diajak meninjau beberapa kelab hiburan ternama untuk orang dewasa. Akhirnya kami berhenti lama di salah sebuah daripadanya apabila dijanjikan oleh `pengurus promosi’ agaknya, persembahan hebat akan bermula beberapa minit lagi.
Selepas membuat bayaran kami dibebaskan memilih tempat duduk sendiri. Persembahan demi persembahan ditunjukkan tetapi persembahan hebat yang dijanjikan tidak juga muncul.
Apabila ada yang mengajak ke tempat lain, ada pula yang menyejukkan. ”Sabarlah sedikit. Lepas ini adalah tu.”
Hinggalah jam sudah menunjukkan hampir 1.00 pagi, persembahan yang ditunjukkan cuma biasa-biasa saja.
Keesokan paginya sewaktu sarapan, aku terdengar isteri Mohd Nor bertanya kepadanya.
”Terukkah sakit kawan Jo yang abang ziarahi malam tadi?”
Aku mengerut dahi dan menahan letusan ketawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan