Isnin, 25 Julai 2011

Menyantuni Emak

Petang yang dingin di kampung.
     Duduk-duduk di luar, menghirup udara petang yang redup. Sekarang musim buah-buahan. Ada seekor kambing emak yang cantik, sedang enak-enak makan rambutan.
     Melihatkan itu, saya teringatkan Beckham...
     Pokok rambutan tempat Beckham selalu mencari ulat, sudah tiada. Emak menebangnya dan melebarkan lagi ruang depan. Kata emak, supaya mereka yang bermain hadrah dapat duduk dengan selesa, berasingan lelaki dan perempuan.
     Emak macam selalu. Bercerita tanpa henti daripada satu topik ke topik lain. Selalunya cerita emak memang penuh dengan metafora. Kadang-kadang ada makna implisit, penuh falsafah dan pastinya ada unsur lucu.
     Jika di rumah, saya ada "radio"; di kampung pun saya ada "radio" juga. Sama sahaja, mesti ketawa dahulu sebelum bercerita. Itulah ciri-ciri "radio" saya. Jadi, dengar sahajalah cerita yang bersiri-siri itu.
     "Nak tahu cerita mak rebus telur itik asin yang Yang bawa tu..." kata emak.
     Pasti panjang ceritanya. Jadi kata saya cepat, " Kejap mak. Nak ke bilik air dahulu. Boleh? Dah lama tahan ni..."
     Saya buru-buru ke bilik air. Cepat-cepat pula menghadap emak.
     Kata emak, dia merebus telur itik asin empat biji. Kemudian dia pergi mandi, pergi ke sana sini sehingga terbau benda terbakar. Fikirnya, barangkali kakak ipar saya membakar ikan. Lama selepas itu, ada orang kampung yang mahu menumpang mandi kerana air paip di rumah mereka tiada.
     Air di rumah emak ada dua punca. Satu daripada paip, yang kata emak "air bayar" membawa maksud tiap bulan emak akan membayar bilnya di pejabat pos. Satu lagi yang disalurkan terus daripada lata di hujung kampung. Air dingin, air dari gunung yang percuma!
     Orang itu terperanjat melihat api sudah masuk ke dalam periuk. Periuk sudah hangus, telur di dalamnya juga sudah hitam legam terbakar!
     Emak lupa!
     Saya terdiam mendengar cerita emak. Teringat kata-kata gemulah ayah dahulu tentang apa yang barangkali berlaku jika dia tiada. Jika dahulu, ayah yang selalu awas dengan perkara-perkara seperti itu. Kata ayah, dia bimbang sekali jika emak terlupa dan tidak sempat berkongsi masa tua mereka bersama-sama.
     Kelupaan emak itu membimbangkan saya. Jauh di lantai hati, saya gusar. Emak sudah tua! Sudah mula jadi pelupa. Jika dulu, emak ke sana sini, mindanya cerdas. Sejak awal tahun ini, emak nekad mahu menetap di kampung, enggan ikut ke mana-mana seperti dahulu. Barangkali itulah sebabnya emak jadi cuai!
     Semasa emak terbaring lena malam itu, saya menatap lama wajah emak. Wajah yang dulunya cantik, sudah dipenuhi kedutan-kedutan yang menggambarkan ketuaan hidup emak. Wajah yang sarat dengan pengalaman dan ujian. Hidup yang dipenuhi kerikil-kerikil tajam, gunungan cabaran yang bukan sedikit.
     Saya yang jauh gagal menyantuni emak. Sesekali sahaja saya muncul di hadapan mata emak, itu pun sekejap-sekejap. Pernah sekali, emak menunggu panggilan saya. Saya berasakan baru saja menelefon emak, rupa-rupanya sudah seminggu saya tidak bertanyakan khabar emak. Saya terlalu sibuk dengan kehidupan dunia saya. Emak merungut kepada kakak, emak bimbangkan saya kerana sudah lama tidak menelefon. Rupa-rupanya seharian itu emak enggan ke mana-mana, mengunci pintu rumah dan duduk diam menanti panggilan saya!
     Ya Allah, saat itu saya jenuh mengutuk diri. Anak apa saya ini! Punya segala kemudahan teknologi, tetapi terlupa menyantuni emak. Bukan sehari dua, tapi sudah seminggu! Sibuk sangatkah saya dengan tuntutan dunia yang tiada penghujung. Penat sangatkah saya dengan desakan kerja yang entah apa-apa!
     Melihatkan kedutan di wajah emak, saya menyentuhnya perlahan-lahan. Kasihan emak. Hidup sendirian setelah ayah pergi, merindukan anak-anak yang sibuk dengan dunia masing-masing. Kedutan emak yang lembik itu, memberikan saya isyarat.
     Satu hari nanti jika Allah memanjangkan usia saya, seusia emak sekarang; begitulah rupa wajah saya kelak. Wajah ceria yang menyembunyikan sepi hati.
     Santunilah emak semasa emak masih ada. Saya mencatatkannya di diari. Juga mencatatnya di hati.
oleh: Ratna Laila

Tiada ulasan: