Sabtu, 30 Julai 2011

Cepat Dua Jam


Paris, 30 Ogos 1997
Jam 11.30 pagi, 30 Ogos 1997, La Fayed, Paris.
Aku, isteri dan dua anak perempuanku memasuki kompleks membeli belah La Fayed, salah satu butik elit di Kota Paris. Sebagaimana Harrods di London, La Fayed ada imej elit tersendiri. Itu kata orang tapi aku lihat bangunannya terlalu buruk; tidak sepadan dengan kemasyurannya.
      Oleh sebab hanya berhasrat untuk melihat-lihat, tidak ada apa sangat yang menarik seperti yang sering digembar-gemburkan. Lalu kami keluar dan mencari kedai makan halal di luar bangunan lama itu.

Jam 3.00 petang, Eiffel Tower, Paris
Selepas menjejak kaki di puncak menara sambil melihat pemandangan seluruh kota Paris, aku sempat melihat kawasan persekitaran menara.
      ”Ah! Ada juga gambar bendera Malaysia,” getusku bangga sambil merakamkannya melalui kamera video. Di bawah gambar bendera tercatat  jarak Paris-Kuala Lumpur.
      Aku bagaikan tersentak daripada lamunan. Esok, negaraku menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-40. Aku lantas mengajak isteri dan anak-anak menyanyikan lagu `Negaraku’ di puncak menara Eifel.
      Aku melafazkan syukur kerana diizin Allah aku kini turut menjejak kaki di salah sebuah mercu tanda dunia. Setelah turun, kami mengambil pakej pusing-pusing Paris dengan bas yang tidak berbumbung.

Jam 6.00 petang
Sempat memenuhi kehendak anak keduaku, Siti Atiqah. Aku menaiki kuda batu `Merry Go-Round’ sambil memeluknya dari belakang.

7.15 malam
Dengan mengambil teksi, kami ke stesen keretapi untuk pulang ke hotel berhampiran Lapangan Terbang Charles De Gaul.

7.00 pagi, 31 Ogos 1997
Aku dan keluarga keluar dari hotel. Dengan Mercedes Benz  230E milik isteri, kami menuju ke utara. Destinasi terakhir yang dirancang ialah Amsterdam. Dalam perjalanan, kami singgah di Taman Mini Eropah di Brussel.
      Hanya pada kira-kira jam 7.00 malam kami mendapat hotel di Amsterdam. Sebagaimana biasa, Siti Atiqah terus memasang televisyen. Dalam keletihan, aku tidak mempedulikan gambar Diana, Putera Charles dan Carmelia Parker yang ditayangkan. Apatah lagi siaran dalam bahasa Belanda. Aku hanya dapat berkata kepada isteri, ”dapat juga Putera Charles mengahwini Carmelia Parker,” sambil menarik selimut tebal untuk tidur.

7.00 pagi, 1 September 1997
Sambil menikmati sarapan pagi, aku terkejut membaca akhbar pagi itu. Diana dan Dodi Fayed mati kerana kemalangan kereta di terowong.
      Aku memandang isteri.
      ”Kita hanya tercepat dua jam melalui terowong itu. Kalau tidak, muka kita juga akan tersiar dalam tv dan akhbar seluruh dunia kerana turut menjadi saksi pertama kes ini,” kataku.
      ”Kalau setakat jadi saksi, tak apa. Kalau sama-sama jadi macam Diana dan Dodi, bagaimana?
      ”Gambar memang keluar dalam tv dan surat khabar tetapi kita sudah tidak sempat tengoknya lagi!” katanya selamba.
      Aku tersentak.

Tiada ulasan: