Khamis, 28 Julai 2011

Mengejar Hantu

Hantu! Takuttttttttttttt!  Tentu ramai yang takut bila sebut hantu...tapi  ada juga hantu yang orang tak takut, misalnya  hantu wayang, hantu novel (macam kawanku tu...hehehe!) dan macam-macam lagi hantu dot dot, yang menggambarkan kegilaan seseorang.
     Apa yang nak aku ceritakan kali ini  ialah hantu yang orang takut, gerun, seram. Kalau dalam masyarakat Melayu, sinonim dengan  pontianak, hantu pocong, hantu penanggal, hantu tinggi dan hantu yang sewaktu dengannya.
     Ada orang mengatakan, sebenarnya hantu yang takutkan kita, bukan kita sepatutnya yang takutkan hantu. Hantu dikatakan muncul apabila jiwa kita kosong dan berada di dalam keadan yang amat takut; sampai apa yang terdengar, yang terpandang pun disangkakan hantu.
     Salah satu cara mengelakkan jiwa kita berada di dalam keadaan kosong ialah dengan beristighfar dan berzikir. Ada orang yang pernah tengok hantu dan ada orang hanya dengar cerita betapa seramnya hantu.
     Aku juga pernah melihat hantu sebanyak tiga kali, memang menyeramkan. Ish! Ish! Dah melarat pulak aku ini.
     Cerita ini berlaku semasa usia aku 22 tahun. Dalam seusia semuda itu, aku dilantik sebagai ketua warden asrama yang terdiri pelajar lelaki tingkatan 1 hingga 3 dan pelajar perempuan tingkatan 1 hingga 6.
     Aku hanya akan fokus kepada cerita mengejar hantu walaupun banyak cerita lain yang boleh dikongsi bersama. Biasalah, di asrama ada kelas malam atau prep class dari jam 8 hingga 10.30 malam.         
     Ketika itu asrama di bawah pengawasanku kerap berlaku histeria. Bila seorang menjerit, sudah tentu seluruh asrama khasnya asrama perempuan akan menjerit. Biasanya jeritan ini berlaku selepas murid perempuan balik dari prep class.
     Apabila aku siasat, biasanya jeritan bermula di bilik air. Mereka mendakwa nampak hantu di situ. Oleh kerana kerap sangat berlaku, aku mengambil keputusan berani untuk mengejar hantu itu.
     Sebaik-baik sahaja semua murid telah berada dalam kelas malam tu, aku panggil pakcik jaga.."Pak cik... malam ni kita kejar hantu! pakcik bawak parang."
     Masih terbayang aku wajah jaga tu terpinga-pinga sambil menjawab, "Biar betul cikgu!" dan akhirnya kami sepakat duduk di dalam belukar hujung asrama perempuan 10 minit sebelum murid perempuan balik ke asrama.
     "Pak cik...bila kita dengar saja murid menjerit, kita terus serbu ke bilik air,: aku memberi arahan.
     Destinasi kami  ialah di bahagian belakang bangunan asrama perempuan yang agak gelap yang dipisahkan oleh pagar dengan kawasan belukar. Betul agakan aku, tak sampai 10 minit murid perempuan balik ke asrama, satu jeritan kuat terdengar.
     "Hantuuuuuuuuuuu!". Apa lagi kami berlari langkah seribu menuju bilik air. Apabila hampir sampai, aku ternampak satu lembaga melompat di dalam gelap tu.
     Sampai  saja… "Bukan hantu pak cik!"
     "Macam mana cikgu tau?"
     " Kalau hantu, takkan guna meja."
     Rupa-rupanya selama ni apa yang didakwa hantu tu ialah orang mengintai murid perempuan dalam bilik air, menggunakan meja. Lega aku ketika itu dan cerita nampak hantu itu senyap beberapa lama.
     Jadi yang kami kejar ialah hantu mengintai rupanya. Pada masa lain, aku akan cerita pula yang aku mengejar hantu betul.
     Tungguuuuuuuuuuu!
oleh: Idris Mohamad

Tiada ulasan: