Halaman

Rabu, 20 Julai 2011

Bak dan Fuad

Aku dan Bakri `menghimpit' Uji Rashid. Awang Chik (guru besar) bertinggung
Sewaktu catatan Bakri Abdul Rahman terpapar di Wall Facebookku sebentar tadi, mataku lantas terpandang kuaters guru di Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 4, Maran, Pahang. Masanya, sekitar tahun 1977.
     Kuaters dua bilik itu masih baru; baru dibina bagi menambah bilangan dua unit yang sedia ada. Aku cuma tinggal dengan Bakri, guru baru anak kota metropolitan Kuala Lumpur.
     Walaupun membesar di Kampung Baru, Bakri tinggi budi bahasanya. Dia tidak sombong dan sikapku yang sering prejudis dengan `orang-orang kaya’ sewaktu kecil, mula berubah sejak aku kenal Bakri yang sering dipanggil Bak sahaja itu.
     Bak yang muda kira-kira dua atau tiga tahun daripada aku menjadi guru yang berdedikasi sewaktu di sekolah. Sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) aku dapat melihat keikhlasannya – bukan hendak membodek aku sebagai superiornya.
     Alah! Superior apa? Aku langsung tidak merasa apa-apa apabila undian memilih siapa yang akan menggantikan Mohd Latif Muda sebagai GPK apabila dia balik Terengganu.
     Aku dapat lebih satu undi sewaktu bersaing dengan Baijuri Mus, anak Jawa dari Sungai Tengar, Sabak Bernam itu. Tidak silap aku, aku dapat tujuh undi manakala Baijuri dapat enam.
     Allahyarham Awang Chik Bidin, guru besar kami yang kemudiannya mati lemas di Sungai Pahang benar-benar mengamalkan demokrasi. Walaupun dia ada kuasa untuk melantik orang kanannya, dia menyerahkan kepada kami semua untuk menentukannya. Mungkin Allahyarham tidak kenal perkataan empowerment, semangat syura – tapi dia telah melakukannya.
     Berbalik kepada cerita Bak, bukti rapatnya hubungan kami, aku sering tidur di rumahnya di Jalan Hamzah apabila balik bercuti. Bak kemudianya menjadi rakan kongsi perniagaanku yang pertama (tidak daftarpun syarikatnya) yang kami beri nama Zulbak Photo. Zulbak Photo menawarkan khidmat fotografi yang tidak ada lagi di Jengka 4 ketika itu, dan mungkin juga kini.
     Kami mengambil gambar aktiviti di petempatan Felda itu – Hari Peneroka, Pentas Bergerak Felda (antara artis residennya Allahyarham Zami, Badul, R. Jaafar dan artis undangan lain) dan kemudiannya kami jual kepada peneroka. Mana tidak riangnya mereka? Mereka bergambar dengan artis seperti L. Ramli, A. Rahman Onn, Kumpulan Al-Suraya (lagu Selimut Putih), Uji Rashid dan ramai lagi.
     Hubungan kami semakin kukuh. Dengan untung yang ada, kami beli kamera SLR Asahi Pentax di Bee Loh Photo di Jalan Pudu, di samping kamera kotak Pearl River yang aku sedia ada.
     Malah kami membina bilik gelap untuk memproses foto hitam putih di dapur kami. Kami ambil gambar passport penduduk setempat dengan filem 6cm X 6cm, 12 dedahan Pearl Riverku. Siap potong filem lagi untuk berjimat sewaktu proses menjadikannya negatif.
     Suatu hari Bak beritahu, adiknya Fuad akan tinggal bersama sementara menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysianya. Aku tidak menghalang.
     Maka bermulalah kehidupan kami yang lebih ceria. Seperti abangnya (walaupun bukan daripada ibu yang sama) Fuad juga budak baik. Santun tutur bahasasa dan ringan tulangnya.
     Bagi mengisi masanya, Fuad turut membasuh pakaianku di samping memasak. Sebagai balasan, aku hulur seringgit dua.
     Selepas keputusan peperiksaan diumumkan, Fuad balik Kuala Lumpur. Aku tidak berjumpanya lagi sehinggalah aku melihatnya di tv – TV3. Fuad sudah jadi pembaca berita Jam 8.00 malam. Kini, aku dengar Fuad bukan staf tetap TV3 lagi tetapi menjadi stringernya.
Catat Ulasan