Sabtu, 9 Julai 2011

KPPM dan Buku (5)

“Minggu depan KL minta tayangkan dokumentari yang you buat kepada semua pengarah yang berkumpul di Seremban. KPPM nak tengok perjalanan projek Pensiangan-Salinatan itu,” aku diberitahu Haji Jalil Abd Ghani, Timbalan Pengarah sewaktu bertemunya di lobi maktab pagi itu.
      Sampai harinya, awal-awal lagi aku telah bersedia dengan projektor LCD dan salinan DVD dokumentari yang merupakan laporan hasil penyelidikan sekolah bermasalah.
      Alhamdulillah! Sepanjang tayangan yang mengambil masa kira-kira tujuh minit itu, aku lihat KPPM memberi sepenuh tumpuan. Kalau aku sendiripun, tentunya berasa bangga kerana projek hasil cetusan pemikiran sendiri telah mula menampakkan hasil. Malah dalam skrip dokumentari itu terungkap kata-kata `idea ini ialah cetusan KPPM kita yang sentiasa prihatin terhadap pendidikan anak bangsa khususnya yang berada jauh di pedalaman.’
      Ternyata anggapan aku itu benar. Sewaktu menutup pertemuan, KPPM yang akan menghadapi zaman persaraan tidak lama lagi menyatakan puas hatinya terhadap perjalanan projek khas itu.
      “Inilah yang dimahukan oleh pertubuhan antarabangsa seperti UNESCO. Kita perlu mengambil perhatian berat terhadap nasib kanak-kanak yang semacam ketinggalan semata-mata mereka tinggal jauh daripada kemudahan moden,” katanya.
      “Saya yakin kalau dokumentari seperti ini ditayangkan, kita boleh menang anugerah,” tambahnya.
      Sewaktu lalu untuk pulang, aku ditegur beliau yang sedang makan bersama-sama pegawai kanan. Beliau mempelawa aku makan bersama. Aku menolak dengan hormat.
      “Maaf, Dato’! Saya sudah makan. Lagipun banyak kerja lagi yang perlu saya selesaikan,” kataku sambil beredar.

Tiada ulasan: