Semasa aku berusia enam dan tujuh tahun dulu pernah juga aku merasa kehidupan sebagai anak pesawah padi. Arwah bapak aku membina rumah di kawasan sawah padi kira-kira 50 meter dari sungai. Rumah itu dibina di tanah pesaka.
Kebetulan arwah bapakku tiada kuarters kerajaan yang sesuai di samping dapat bersawah menambah pendapatan, maklum sajalah anak-anak ramai. Masa itu dapatlah aku merasa suasana musim tengkujuh. Banjir sampai separuh tenggelam rumahku. Terlalu banyak kenangan manis ketika itu tapi kali ini aku nak cerita pasal belalang sawah dan belut sawah.
Salah satu musuh padi ialah belalang sawah, walaupun kecil tapi bila sampai musimnya beribu-ribu yang datang yang menyebabkan padi rosak. Masa belalang banyak inilah, aku dan abang-abang ambil kesempatan menangkap belalang itu untuk dimusnahkan. Biasanya kami guna kain batik emak untuk tebar macam jala ikan.
Apa yang seronoknya sebahagian daripadanya kami ambil untuk dimakan. Pelik juga bukan? Belalang ini bukan boleh dimakan begitu sahaja. Terlebih dahulu, buangkan kepaknya kemudian digoreng. Apabila sudah banyak memang sedap dimakan - kira macam makan ikan bilis goreng. He! He! He!
Ini pasal belut pulak. Waktu ini belut sangat bernilai komersial. Dulu orang tak pandang belut. Maklum sajalah dengan rupanya yang semacam ular, berbadan licin dan susah pula hendak dipegang.
Kalau di sawah, belut ni hidup atau buat rumah berupa lubang pada permatang sawah. Kalau nampak ada lubang-lubang sebesar ibu jari kaki pada permatang, biasanya ada belut, tapi jangan salah lubang, silap-silap lubang ular!
Kalau hendak menangkap belut, semasa dia bergerak dalam sawah memang susah. Jadi kami guna kaedah lain, tapi ada risiko kalau tersilap lubang. Apa yang kami buat, balut hujung jari telunjuk dengan kain perca, sapukan kain perca itu dengan belacan. Selepas itu masukkan hujung jari tadi ke dalam lubang. Kalau belut itu ada di dalam lubang, dalam beberapa minit, hujung jari tu digigit. Selepas itu cepat-cepat tarik jari dengan belut masih melekat menggigit hujung jari. Bagaimanapun kita perlu menyediakan abu dapur pada tapak tangan supaya senang hendak pegang belut itu.
Belut sedap dimakan kalau digoreng campur kunyit. Dagingnya pejal dan manis. Di samping itu ia tidak bertulang macam ikan. Bagaimanapun ada orang tak lalu nak makan, dia cakap macam ular. Cubalah makan belalang sawah dan belut goreng!
oleh: Idris Mohamad
oleh: Idris Mohamad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan