Khamis, 14 Julai 2011

Your husband is so quiet!

Menyusur Sungai Thames berhampiran London Bridge
Cuti hujung minggu itu isteri mengajakku ke London. Katanya setelah beberapa minggu aku dan Siti Haryati sampai ke Birmingham, dia rasa bersalah kerana tidak  sempat membawa kami berjalan-jalan kerana kesibukannya belajar.
      Ketika itu isteriku mendapat biasiswa peringkat diploma selama satu tahun di Universiti Birmingham sedangkan aku ketika itu masih belajar di salah sebuah universiti tempatan.
      Dalam perbincangan malam itu, isteriku memaklumkan tempat penginapan, tidak menjadi masalah lagi. Sewaktu balik bercuti di Malaysia baru-baru ini, isteriku ada berjumpa Pak Wahab, pegawai di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London sewaktu ke rumah Kak Jah, jiran kami.
      Pak Wahab yang cukup mesra itu dikatakan beberapa kali mengingatkan, datanglah menginap di rumahnya kalau datang ke London nanti. Beliau turut meninggalkan calling cardnya.
      Pagi-pagi lagi aku, isteri dan satu-satunya anakku ketika itu berangkat ke London melalui Stesen Bas Bullring, Birmingham.
      Sampai di London kami bertemu Pak Wahab di pejabatnya. Beliau memang tidak sombong. Walaupun memegang jawatan tinggi di situ, beliau tetap memohon maaf kerana tidak dapat mengajak kami tidur di rumahnya kerana isterinya tidak sihat.
      Sambil menyerahkan seberkas kunci, beliau meminta kami mengikut seorang pemuda sambil berkata,  You boleh tinggal di sana berapa malampun yang you suka.”
      “Bila nak balik ke Birmingham nanti, datang ke sini hantarkan kunci,” katanya lagi seolah-olah kami sudah biasa sangat di Kota London. Rupa-rupanya pemuda itu adalah pemandunya dan rumah yang hendak kami tuju adalah rumah sewanya.
      Sampai di rumah yang cukup hebat hiasan dalamannya, kami diperkenalkan dengan seorang wanita yang juga ramah. Beliau baru datang dari Malaysia  untuk bercuti bersama anak-anaknya tanpa suami.
      Bahasa Inggerisya pekat. Kemesraan jelas terpancar sewaktu berbual-bual dengan isteriku yang tidak kurang hebat Bahasa Inggerisnya. Sewaktu beberapa pertanyaan dikemukakan kepadaku, terkapai-kapai juga aku dibuatnya. Di samping aku merasa rendah diri kerana kedatanganku ke England menumpang tuah isteri, handikap paling besar adalah bahasa Inggerisku.
      Ketika makan malam bersama pula aku lebih berasa malu apabila wanita itu berkata kepada isteriku, “Your husband is so quiet!,”
      Aku sahaja yang tahu mengapa aku begitu.

Tiada ulasan: