Selasa, 19 Julai 2011

Karya Pertama

Aku ingin menjadi penulis. Ketetapan itu bagaikan tersimpul mati di benakku selepas kelas Bahasa Melayu yang diajar Cikgu Normah Hamid tengah hari itu. Sejak bersama-sama guru lepasan Institut Bahasa itu di Tingkatan Satu, tahun lalu pengajaran Cikgu Normah benar-benar membuatkan kami mencintai mata pelajaran itu.
      Tengah hari itu Cikgu Normah meminta kami berkarya; tidak kira bentuknya – cerita pendek, sajak atau karangan biasa.
      “Cikgu akan pilih karya yang baik dan cikgu akan muatkan dalam majalah kelas kita nanti,” katanya.
      “Cikgu sangat gembira kalau setiap murid ada karyanya dalam majalah itu nanti. Cikgu tahu, semua orang dalam kelas ini berbakat,” tambahnya menyuntik semangat.
      Aku benar-benar teruja. Sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah tengah hari itu, benakku sentiasa berfikir-fikir bagaimana untuk berkarya. Tempoh satu bulan yang diberikan benar-benar cepat dirasakan.
      Sehinggalah hampir ke tarikh akhir untuk menghantar karya, setiap karya yang cuba aku hasilkan tidak menjadi. Tidak ada karya yang memuaskan hatiku sendiri sedangkan Cikgu Normah pernah berpesan, “Sebelum dapat memuaskan pembaca, kita sebagai penulis mesti puas hati dengan karya itu terlebih dahulu.”
      Lantas aku teringat sajak tulisan Pak Kitam, bapa saudaraku yang pernah aku temui di biliknya. Tanpa berfikir panjang aku menyalin sajak itu bulat-bulat dan menghantarkannya kepada Cikgu Normah keesokan harinya.
      “Bagus sajak ni. Cikgu akan masukkan dalam majalah kita nanti,” respons Cikgu Normah meyakinkan.
      Sehinggalah sajak itu terbit dalam majalah bertulisan tangan yang dibuat dua naskhah pada akhir penggal persekolahan, aku sentiasa sahaja rasa bersalah.
      Sewaktu kami meraikan penerbitan majalah itu yang turut dikongsi pengetua, aku masih tidak dapat menghindari perasaan itu.
      “Tahniah! Sedap sajak kau,” kawan-kawan memuji jujur. Aku berasa semakin bersalah dan malu.

Tiada ulasan: