Isnin, 25 Julai 2011

Bawa Kamera

Syahdu di pintumu Multazam. Foto: Siti Adibah Zulkifli
Orang kata dalam Masjidil Haram tidak boleh ambil gambar. Orang kata juga kapal terbang tidak boleh lalu melintasi kaabah. Kapal terbang akan jatuh. Begitulah antara cerita nenek yang pernah aku dengar. Cerita yang hampir sama turut diceritakan oleh mereka yang pernah ke sana, khususnya golongan tua.
      Tanpa niat bersifat takbur aku cuba menguji kebenaran cerita-cerita seperti itu. Taboo yang tidak keruan.
      Sewaktu mengerjakan sunat umrah tahun itu, aku bukan sahaja membawa kamera pegun tetapi juga kamera video. Waktu menunaikan haji pada tahun 1991 dulu, aku akur sepenuhnya arahan Tabung Haji dan ingin menumpukan  sepenuhnya kepada rukun Islam yang kelima.
      Sebagai percubaan pertama, aku turut membawa pemetik api dan rokok dalam saku jubahku. Percubaan itu gagal. Pengawal Masjidil Haram dapat mengesannya sewaktu meraba-raba saku itu di pintu masuk.
      Aku kemudiannya menukar strategi. Pemetik api dan rokok aku sorokkan dalam lipatan ikatan seluar. Aku terlepas.
      Berdasarkan kejayaan itu, aku cuba membawa kamera pegun pula pada keesokan petangnya. Sambil meletakkan tangan dalam saku jubah untuk memegang kamera, mulut dengan manis mengucapkan salam kepada pengawal masjid dalam nada keAraban yang pekat.
      Aku berjaya melepasi pintu masuk tanpa diperiksa. Selepas menunaikan solat sunat, aku menuju ke arah yang agak terpencil sambil mengeluarkan kamera dari saku.
      Walaupun jemaah belum ramai lagi kerana waktu asar masih jauh, aku terus menekan punat kamera. Sambil memerhatikan kawasan sekeliling selamat, aku terus mengambil beberapa keping gambar dari aras dua masjid itu. Bagaimanapun hati terus berdebar.
      Sewaktu balik ke Malaysia, aku tidak sabar melihat hasilnya. Selepas diproses ternyata gambar itu jadi semuanya, kecuali beberapa keping kurang dedahan dan ada pula tidak berapa jelas imejnya kerana mungkin kamera bergoyang.

Tiada ulasan: