Rabu, 13 Julai 2011

Kakak Itu Payung...

Ada orang kata, seorang ibu terlalu bersifat pelindung sehinggakan anak-anak tidak mampu berdikari ketika berdepan dengan dunia luar. Itu juga sebabnya, kata orang, anak-anak yang tidak punya salah seorang ibu atau bapa, membesar sebagai individu yang tidak seimbang. Tidak tahulah sama ada betul atau salah tanggapan orang itu.
     Bersifat pelindung itu memang baik. Mana-mana ibu di dunia ini sama ada ibu manusia atau binatang memang demikianlah sifatnya. Naluri semula jadi untuk berusaha melindungi anak-anak yang membesar selama sembilan bulan dalam perutnya. Tapi kadang-kadang ibu-ibu tidak menyedari "payung" yang melindungi anaknya itu terlalu besar sampaikan si anak tidak boleh melihat realiti dunia luar dengan lebih jelas.
     Saya merupakan salah seorang daripada ibu-ibu yang sedemikian. Saya mengakuinya...
     Tapi saya pun "dilindungi" oleh seseorang dari saya kecil sehinggalah setua ini.
     Bukan...bukan emak yang melindungi saya. Tapi kakak!
     Dia tua tiga tahun daripada saya. Saya ada dua kakak, satu abang. Kakak saya yang ini iras-iras wajah saya. Pendek-pendek pun macam saya juga. Cuma yang agak membezakan ialah dia ada tahi lalat di dagu.
     Oleh kerana iras wajah itu, bayi-bayi selalu keliru. Bukan bayi manusia sahaja, bayi monyet yang menumpang kasih emak (namanya Beckham) pun keliru. Bayi manusia tidak sukakan saya. Nampak muka saja, mereka akan menangis ketakutan. Tapi mereka sukakan kakak.
     Jadi, apabila kedua-dua kami ada bersama, kami suka mengenakan bayi-bayi ini. Mereka tidak jadi menangis, sebab keliru. Pandang sana dan pandang sini. Agaknya, otak mereka yang seciput itu jenuh berfikir, yang mana satu mak cik best dan yang mana satu mak cik tak best!
     Bagus juga! Taklah penat saya kena mendukung anak-anak saudara saya itu, bolehlah saya bersenang-lenang kalau balik ke kampung.
     Kalau saya balik ke kampung, kakak sanggup berkejar selewat mana pun dari Ipoh sebaik sahaja waktu kerjanya tamat, meredah hujan lebat semata-mata mahu menyediakan kopi pekat untuk saya. Sebelum subuh keesokan harinya, kakak akan meredah pula kegelapan dan kesejukan untuk pulang semula ke Ipoh. Kopi bancuhannya memang sedap. Cuma sekarang saya hanya mampu merindui aroma kopi bancuhan kakak. Saya tidak boleh lagi menikmatinya disebabkan saya sedang mengamalkan ubat-ubatan homeopati.
     Kakak-kakak memang agak "memanjakan" saya. Ketika setua ini pun, kalau mereka ada, saya tidak pernah ke dapur. Kalau ada di dapur, saya hanya menyibuk-nyibuk sahaja. Potong-potong halia sedikit, berehat sahaja yang lebih. Memilih kerja pula tu, bawang memang awal-awal saya reject. Tetapi tukang rasa, memang tugas sayalah.
     Sejak kecil, kakak memang sayangkan saya dan dua adik lelaki saya. Tapi dia juga sangat garang dan tegas. Dia betul-betul mengikut perangai ayah. Sangat pembersih dan kemas. Kalau dia menyapu sampah, adik-adik terpaksa duduk di luar rumah atau duduk diam di tepi dinding. Tidak boleh bergerak-gerak sehingga dia selesai menyapu. Kalau ada yang berdegil, dia menjegilkan matanya. Takut betul.
     Kedua-dua kami miskin anak. Dia hanya ada satu dan saya dua.
     Kegarangannya banyak menyelamatkan saya daripada dibuli. Bersekolah rendah di kampung, budak-budak suka membuli saya kerana saya agak lembik. Apabila kakak mendapat tahu, dia menunggu budak itu di luar kelas semasa rehat. Dia memberi amaran dan mengejar budak lelaki itu ke kawasan perkuburan di belakang sekolah. Seharian budak itu bersembunyi di kawasan perkuburan kerana takutkan kakak. Barangkali budak itu lebih rela diusik hantu di kuburan daripada menghadapi kegarangan kakak.
     Dia juga selalu tidak sampai hati meninggalkan saya sendirian. Ada satu ketika musim hari raya, dia mahu ke pekan menaiki bas. Dalam poketnya ada wang yang barangkali tidak sampai pun seringgit. Tambang ke pekan pada tahun-tahun awal 1970-an hanyalah lima sen pada waktu itu. Saya menangis mahu mengikut, sedangkan dia tidak berani membawa saya. Dia memujuk saya, memberikan saya wang lima sen, tapi saya masih mahu mengikut. Kemudian beri lagi lima sen, sehingga wangnya habis diberikan untuk memujuk saya! Terpaksalah dia membatalkan niatnya untuk ke pekan kerana tidak sampai hati meninggalkan saya.
     Ketika dia bersekolah menengah, saya tidak pernah melupakan tabiat kakak yang satu ini. Dia berbasikal ke sekolah kerana ayah tidak mampu membiayai tambang bas. Sekolahnya di pekan. Awal pagi kakak sudah mengayuh basikal ke sekolah disebabkan jarak yang jauh. Wang saku yang diberikan ayah hanyalah 20 sen, tetapi kakak tidak pernah membeli makanan di kantin. Dia akan membeli jajan untuk dibawa pulang dan diberikan kepada saya dan adik-adik. Pada waktu itu, saya tidak terfikir langsung kelaparan yang terpaksa ditanggung kakak. Saya hanya menanti kepulangan kakak dari sekolah, sebab saya tahu kakak akan membawa pulang jajan untuk kami. Memikirkannya sekarang, saya jadi sedih. Kasihan kakak. Wang saku yang sedikit itu pun tidak digunakan untuk dirinya sendiri.
     Kegarangannya memang ditakuti. Dia akan memburu siapa sahaja yang cuba membuli adik-adiknya, malahan jika ada yang memukul abang saya! Pernah sekali dia menumbuk budak lelaki yang membuli abang. Siap dengan amaran keras! Sejak itu, tiada siapa pun yang berani mengusik-usik kami jika kakak ada di situ. Seolah-olah ada label di wajahnya "Awas, budak garang!"
     Dia memang tidak pernah meninggalkan saya, walaupun di saat ribut melanda. Kampung kami pada waktu itu dipenuhi sawah. Seingat saya, kerap benar ribut melanda. Petang itu, dengan memakai baju kurung emak (tanpa kain, kononnya sebagai baju tidur), kakak membawa saya berjalan-jalan menuju ke kawasan bukit. Jalan yang kami lalui itu merupakan batas sawah yang agak lebar. Tidak tahu mengapa, tiba-tiba angin kuat melanda. Tiada tempat untuk bersembunyi kerana di mana-mana pun hanyalah sawah. Pokok-pokok padi rebah menjadi rata. Pokok-pokok di kejauhan ada yang tumbang dek kuatnya angin. Kakak terpaksa membawa saya lari mencari perlindungan. Pontang-panting dia mengheret saya. Dengan saiz tubuhnya yang pendek gemuk, dia memegang erat tangan saya. Saya pula kurus kecil dan lembik, menyukarkan dia dan saya untuk berlari dengan laju melawan angin. Tapi dia enggan melepaskan saya.Barangkali kalau dia melepaskan saya, agaknya entah ke mana tubuh kecil saya dibawa angin. Dia menyelamatkan nyawa saya dengan mempertaruhkan nyawanya.
     Dulu-dulu, orang-orang Cina selalu datang memasang perangkap di hutan belakang kampung. Kadang-kadang mereka mendapat beberapa ekor babi hutan. Mereka akan mengikat kaki babi hutan ini di batang kayu dan mengandarnya keluar melalui jalan kampung. Babi hutan itu masih hidup, matanya meliar dan mulutnya berbunyi-bunyi. Kakak selalu mengajak saya melihat Cina mengangkut babi. Kelakar betul jika dikenangkan. Buatnya babi-babi itu terlepas, habislah disondolnya kanak-kanak yang suka benar menyaksikan babi-babi itu diangkut ke dalam lori.
     Meskipun kakak garang, dia penakut juga. Dia takutkan ulat. Saya pula suka bermain dengan ulat nangka. Ayah selalu membiarkan saya bermain dengan ulat nangka supaya saya lebih "berani". Comel sungguh melihat ulat-ulat itu melompat-lompat. Saya selalu mengejar kakak dengan ulat nangka di tangan. Dia tidak akan datang ke tempat saya sedang makan nangka bersama ayah jika masih ada ulat di situ.
     Kakak juga takut hantu. Ada satu ketika, heboh orang bercerita tentang hantu kain batik yang selalu datang ke rumah orang pada waktu malam. Emak dan ayah memelihara seekor kucing yang pandai mengetuk pintu. Boleh saja kalau kucing itu mahu masuk ke rumah melalui tempat lain yang terbuka, tapi dia lebih gemar mengetuk pintu. Saya pula baru pulang dari rumah abang. Saya berkain batik waktu itu. Saya mengetuk pintu. Kakak fikirkan si Mone yang mengetuk pintu, dia pun segera membuka pintu dan memandang ke bawah. Dia tidak nampak Mone tetapi yang dilihatnya adalah kain batik. Melompat dia ke dalam rumah, menjerit sekuat-kuat hati, lari masuk ke dalam bilik membuatkan ahli keluarga lain terpinga-pinga di ruang tamu. Peristiwa itu menjadi bahan tawa emak dan ayah.
     Kakak juga ada sedikit sifat pengecut. Berbanding saya, dia tidak ada keberanian untuk memandu ke mana-mana destinasi yang jauh.
     Sehingga saya dewasa, kakak masih melindungi saya. Jika saya dikecewakan kerana cinta, kakak yang akan "menyerang" lelaki berkenaan. Dengan suami pun kakak memberi peringatan supaya menjaga saya dengan baik dan tidak sesekali melukai hati adiknya.
     Dia yang lebih-lebih membela saya jika saya dimarahi emak.
     Ada sekali itu, kami makan di pekan. Saya beritahu dia, ada ketua kampung (bekas bregidier) dan seorang lelaki sedang memandang-mandang dan kemudian ketawa-ketawa sambil bercakap-cakap. Nada mereka seperti sedang mengejek dan mengumpat. Memang waktu itu saya ada masalah peribadi. Terkejut saya sebab kakak bingkas bangun dan menuju ke arah mereka. Dia memberitahu dengan suara yang kuat, supaya mereka tidak menghina saya. Semua orang memandang perlakuan kakak. Betul-betul selepas itu, kedua-dua orang ini meminta maaf dan begitu menghormati kakak jika terjumpa di mana-mana.
     Kakak suka berterus-terang dalam apa jua keadaan. Dia berani berdepan dan tidak pernah melarikan diri daripada masalah.
     Sekarang, dialah orang yang paling susah hati disebabkan saya yang kurang sihat. Sampaikan dia mahu berhenti kerja dan datang ke sini untuk menjaga saya. Anaknya sudah bekerja, suaminya pula sibuk dengan hal politik dan kampung kerana suaminya ketua kampung dan aktif politik.
     Kemarahannya berganda apabila dia tahu saya mengalami kesakitan berhari-hari kerana kecuaian doktor. Pagi-pagi lagi dia akan bertanyakan kabar saya. Saya bimbangkan kesihatannya. Nanti saya tidak apa-apa, dia pula yang sakit.
     Saya tidak tahu sampai bila kakak akan menjadi payung saya. Melindungi saya daripada jerkahan panas matahari dan amarah hujan. Setiap musim, payungnya ada bersama saya meskipun kami tinggal berjauhan.
     Dia menyimpan banyak rahsia saya. Saya juga banyak menyimpan rahsianya. Dia masih mampu ketawa meskipun latar hidupnya penuh cerita duka.
     Seperti saya yang selalu lupa, anak-anak saya sudah dewasa; kakak juga pasti lupa bahawa saya bukan lagi adiknya yang kurus kecil dan lembik.
     Perangai kakak dan saya seperti kutub utara dan selatan. Ketegasannya tak mampu saya ikut. Dia hanya menjadi garang jika saya diusik. Di sisi lain, dia seorang yang sangat penyayang dan disukai ramai orang.
     Saya berjanji akan menjaga "payung" saya itu satu hari nanti, jika Allah memanjangkan umur saya.
     Pernah saya memberitahunya lama dahulu, saya titipkan anak saya kepada dia jika terjadi apa-apa kepada diri saya. Saya percayakan dia. Saya yakin dia mampu menjadi payung kepada anak saya sebagaimana dia memayungi saya sejak sekian lama.
     Tangannya yang erat memegang tangan kurus saya masih saya rasai sehingga kini.
     Payung itu...akan tetap memayungi saya biarpun ribut melanda.
oleh: Ratna Laila

Tiada ulasan: