Rabu, 27 Julai 2011

Pensyarah UPM

Timbalan Menteri Pelajaran, Khalid Yunus melawat pelajar di Universiti Hull
Oleh kerana agak lama juga di Birmingham iaitu kira-kira tiga bulan, aku bosan juga tinggal di bilik. Aku hanya tinggal dengan anak tunggalku yang baru berusia kira-kira lima tahun sedangkan isteriku banyak menghabiskan masa di universiti.
      Pada suatu hari Pak Ya, warden Malaysia Hall Birmingham mengajak aku mengikutnya melawat pelajar di beberapa universiti sekitar Birmingham. Beliau ingin tahu perkembangan pelajaran mereka.
      Aku tidak melepaskan peluang keemasan itu. Bukan senang nak masuk banyak universiti dan melihat dari dekat pula apa yang ada.
      Dengan berpakaian cukup kemas – bertali leher dan berkot, di hadapan cermin aku sempat membuat kesimpulan sendiri. ”Hebat juga aku!”
      Sampai di universiti pertama, aku mula berasa risau pula. Bagaimana nanti kalau ada pensyarah yang banyak bertanya? Bahasa Inggeris aku bukan baik sangat ketika itu – maklumlah pelajar program Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama.
      Ternyata agakanku tepat. Mungkin kerana Pak Ya memperkenalkan aku datang dari salah sebuah universiti di Malaysia (tetapi tidak pula menyebut aku hanya pelajar), banyaklah soalan yang ditanya oleh pensyarah-pensyarah itu.
      Oleh kerana aku datang dari Universiti Pertanian Malaysia, soalan-soalannya banyak berkisar mengenai penyelidikan dalam bidang pertanian. Berpeluh aku dibuatnya.
      Oleh kerana tidak tahan lagi dengan soalan demi soalan yang diajukan, dengan lembut aku menyatakan, aku hanya seorang mahasiswa tua yang belajar bidang bahasa.
      Aku berasa malu pula kepada mahasiswa muda yang turut berada di hadapan kami.

Tiada ulasan: