Isnin, 18 Julai 2011

Oh! Datin Rohani

Datin Rohani menelefonku untuk meminta bantuan menghasilkan dokumentari khas sempena pelancaran buletin Pekerti. Datin Rohani adalah isteri kepada Setiausaha Kerajaan Negeri tetapi di tempat kerja, dia adalah rakan sekerjaku di IPG Kampus Raja Melewar.
     “I minta you tolong buat klip video mengenai Pekerti. Datin Salbiah minta I uruskan. Klip video ini akan ditayangkan sewaktu kami melancarkan buletin Pekerti bulan depan,” pintanya penuh harap.
     Sebelum aku memberi jawapan, dengan majah manisnya Datin Rohani menambah,” Bukankah you yang banyak buat kerja-kerja video Kerajaan Negeri sejak zaman Dato’ Isa lagi?”
     “You sebut sahaja kosnya,” tambahnya – masih dalam wajah seperti selalunya, manis dan mesra.
     Aku menyatakan persetujuan dan menyebut cuma RM5,000 untuk klip sepanjang kira-kira lima minit itu. “Datin punya pasal saya ambil kos sahaja,” kataku kepada Datin Rohani yang juga tinggal sekariah.
     Seperti yang dipinta, tidak sampai tiga hari aku menyerahkan salinan DVD yang lebih menceritakan sejarah perjalanan Pekerti untuk previu. Aku nyatakan kepadanya, tengoklah dulu dan bersedia untuk kerja-kerja ubahsuai dan pindaan.
     Sewaktu menghasilkan video itu, tentulah sebahagian besar ceritanya berkisar kepada pembabitan Allahyarhamah Datin Seri Hajah Hazizah. Dia yang menubuhkan Pekerti dan menguruskannya sekian lama sedangkan pengerusi semasanya, Datin Raja Salbiah cuma baru beberapa bulan memegang jawatan itu. Suaminya baharu sahaja diberi kepercayaan memegang tampuk pentadbiran negeri.
     Tidak sampai tiga hari juga, Datin Rohani menelefonku kembali dan memaklumkan Datin Raja Salbiah tidak berkenan dengan klip video itu. Aku difahamkan dia tidak sukakannya kerana foto dan video Datin Hazizah lebih banyak daripada dirinya.
     “Tentulah! Mengikut catatan sejarah, Datin Hazizah yang lebih lama bersama Pekerti,” aku menyuakan lojik.
     “Tapi Datin Salbiah suruh pinda.”
     “Pinda macam mana?,” tanyaku.
     Datin Rohani tidak dapat menjawab. Aku kemudiannya diminta berurusan langsung dengan Datin Salbiah.
     “Bagaimana dengan kos penerbitan? Segala-galanya telah dilakukan – kerja-kerja penyelidikan, penulisan skrip, kerja-kerja mengimbas foto, rakaman foto dan video, voice-over, suntingan video dan bla… bla…,” tanyaku.
     Datin Rohani terdiam. Setelah agak lama berbuat demikian, akhirnya dia bersuara.
     “Boleh tak I bayar RM1,000 sahaja. I akan guna duit I sendiri,” pintanya dalam nada seorang rakan.
    “Oh ya! Lupa nak cakap. Dato’ nak jumpalah you nanti,” katanya lagi. Aku memang sudah lama kenal Dato’ yang dimaksudkannya itu. Dato’ Hamzah Ghazzali, Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tiada ulasan: