Ahad, 17 Julai 2011

Apabila Harga Puyu Setaraf Daging

Dari kiri: Rohana, tukang masak dan Penghulu Zainudin Bujang
Lauk kuning ikan puyu
Sewaktu bertandang ke Pesta Persukuan Adat Perpatih yang berakhir di Seri Menanti bersama Shariff Ahmad pagi tadi, terkejut juga aku apabila mendapat tahu ikan puyu yang tidak berapa laku sebelum ini, naik sahamnya.
     Selain ikan sembilang (keli), ikan puyu yang bersisik tajam dan berkedut hodoh  itu juga adalah ramuan utama masakan tradisional Negeri Sembilan – masak lomak lado api.
     “Bukan senang nak dapat ikan ini lagi tuan,” kata Rohana Sallehudin, Penyelia Kanan Kemas Parlimen Rembau ketika  mengajak singgah di gerainya.
     Gerai Luak Rembau menghidangkan lauk ikan puyu dan rendang pucuk ubi pada pesta yang turut mengetengahkan masakan tradisional Negeri Sembilan itu.
     “Ini bukan ikan kolam peliharaan tuan. Ikan ini saya beli daripada orang kampung yang mengumpulnya beberapa hari dengan memancing,” katanya lagi.
     “Tahu tak tuan berapa harga ikan puyu ini sekarang? RM15.00 sekilogram,” katanya bercanda.
     “Harga ikan puyu naik mencanak macam harga saham,” celah Penghulu Zainudin Bujang yang turut berada di situ bersama pakar Adat Perpatih, Dato’ Haji Khalid Bonget.
     Seingat-ingat aku sudah lebih 50 tahun (setengah abad) aku tidak makan lauk ikan puyu ini. Sewaktu bersawah kecil-kecil dulu, aku sering dapat menangkapnya ketika musim padi bunting – hampir hendak berbuah.
     Kalau tidakpun sewaktu memancing di beberapa lubuk kecil di sawah ketika musim padi masak. Ketika itu biasanya awal Januari dan musim berangin.
     Ikan yang aku perolehi, emak masak lado api. “Aduuuuh mak, sodap eh!”

Tiada ulasan: