Halaman

Ahad, 24 Julai 2011

Zafar, Si Cikgu Dari Rawalpindi

Zafar, graduan Universiti Rawalpindi


Baru pagi  ini aku tahu Zafar adalah pengurus restoran mamak yang terletak di hujung blok bangunan dua tingkat itu.
     Patutlah dia jarang kulihat terlari-lari ke sana-sini untuk melayan pelanggan. Pada awal pagi, aku lihat dia dengan seluar pendek duduk di satu sudut kedai sambil melepaskan asap sedutannya. Malamnya pula baharu kulihat dia mendekati pelanggan sambil berbual mesra.
     “Ya! Saya macam pengurus di sini. Bos percaya!,” katanya dalam bahasa Melayu yang agak fasih tapi kadang-kadang salah strukturnya.
     Zafar yang bertubuh tinggi lampai itu berpeluang aku dekati sebelum subuh tadi kerana restoran itu sudah kira-kira tiga minggu tidak dibenarkan beroperasi 24 jam.
     Puncanya `Surat Kepada Pengarang’ yang mengadu kewujudan restoran ini mengganggu penduduk setempat. Pernah pada suatu malam aku lihat sendiri lebih 10 kakitangan Majlis Perbandaran Seremban `menjengah’ premis ini.
     “Saya pun tak tahu apa sebab orang tak suka kita buka 24 jam. Patut, boleh ucap terima kasih kerana kita tolong jaga rumah dia orang. Tengok! Kita ramai di sini, pencuri tentu takut,” kata pemuda berusia sekitar 35 tahun itu membuat hujahan.
     Memang Zafar agak berbeza dengan lebih 20 kakitangan lain. Baharu aku tahu kini, lulusan Universiti Rawalpindi itu pernah jadi guru dan turut memiliki syarikat pengangkutan di Pakistan.
     “Allah uji saya. Banyak lori saya terlibat dalam kemalangan. Saya rugi besar dan macam gila!,” cerita Zafar yang menjelaskan punca kedatangannya ke Malaysia pada tahun 1999 lalu.
     “Abaaang! Fikir sendiri. Sudah ada duit banyak, tiba-tiba hilang. Jadi saya hijrah ke sini untuk rasa tenang,” tambahnya dalam bahasa Inggeris yang agak baik.
     Ketika ditanya pengalamannya menguruskan restoran ini, rupa-rupanya Zafar pernah menguruskan tiga restoran serentak sewaktu di Kuala Lumpur dahulu.
     “Kalau banding dengan Pakistan, bagaimana pelanggan restoran di sini?,” aku mencungkil jawapan.
     “Abang jangan marah! Sini sama juga macam Kuala Lumpur.”
     “Saya hairan apa sebab ramai orang muda makan tapi dia orang tak mahu bayar,” ceritanya.
     “Mahu cakap satu lagi hal. Itu budak muda yang tak bayar - orang Melayu; orang Islam.
     “Cakap terang. Satu kalipun saya tak ada jumpa budak muda China atau India, tak ada bayar” katanya berkongsi kehairanan.
     Aku bungkam.
Catat Ulasan