Halaman

Isnin, 4 Julai 2011

Ke mana Hilangnya...?

Mengimbau kembali, ketika itu aku di Darjah Satu Cemerlang. Guru kelasku Cikgu Nur Rahmat. Seelok namanya, Cikgu Nur Rahmat seorang yang baik hati dan pandai mengambil hati murid-muridnya. Dia suka bercerita, membuatkan murid-muridnya sentiasa ternanti-nanti akan kemunculannya di kelas. Dia juga sering menasihati kami supaya sentiasa berdisiplin dan patuh pada peraturan-peraturan sekolah.
       Di antaranya, beliau sering mengingatkan kami, “Jangan buang sampah merata-rata. Jika tak jumpa tong sampah, simpan dahulu sampah itu dalam kocek. Kemudian bila jumpa tong sampah barulah buangkan sampah itu ke dalam tong sampah.” Bersungguh-sungguh Cikgu Nur Rahmat menasihatkan kami.
       Beliau juga berpesan, “ Lepas rehat, bila loceng berbunyi, jangan makan lagi. Beratur cepat-cepat untuk masuk semula ke kelas! Faham tu!, Tanya Cikgu Nur Rahmat lagi.
       “Faham, Cikgu!, sahut kami beramai-ramai.
       Di kantin sekolah ada dijual ais kepal.(Ais yang dibulatkan dan disirami dengan air gula berwarna merah) Setiap hari ramai murid-murid beratur untuk membeli ais kepal. Aku juga teringin hendak makan ais kepal. Suatu hari aku pun turut beratur untuk membeli ais kepal. Barisan amat panjang dan aku berada di belakang sekali. Oleh kerana teringin sangat aku pun terus menunggu.
       Apabila saja ais kepal itu berada dalam tanganku, loceng pun berbunyi.
“Ringggggggggg”.
       Aku terliur melihat ais kepal di tanganku, warnanya merah.
       “Mm..sedapnya!, hatiku berkata.
       Ais kepal sudah hampir ke bibirku, Tiba-tiba aku teringat kata-kata Cikgu Nur Rahmat. “Bila loceng berbunyi, jangan makan lagi. Beratur cepat-cepat untuk masuk semula ke kelas!”
       Aku ingin menjadi seorang murid yang baik dan patuh kepada peraturan sekolah. Aku pun membatalkan niatku untuk memakan ais kepalku itu. Aku segera berlari ke tepi kelas untuk beratur. Sampai di kelas, aku pun meletakkan ais kepalku di dalam beg rotan.(Waktu itu semua orang menggunakan beg rotan). Ais kepal itu hanya beralaskan sekeping kertas segi empat berkilat (seakan-akan brown paper).
       Waktu itu plastik belum lagi digunakan di mana-mana (belum direka lagi agaknya! Hehe…tahun 1963!! ).
       Hajat hatiku, aku akan memakan ais kepalku waktu tengah hari nanti, selepas habis kelas. Aku tersenyum kegembiraan kerana itu pertama kali aku membeli ais kepal. Setelah hampir tengah hari, apabila selesai membuat kerja-kerja tulis, aku pun teringatkan ais kepalku. Aku pun menoleh ke arah beg rotanku. Alangkah terperanjatnya apabila aku dapati ais kepalku telah tiada. Hanya yang kelihatan adalah kertas segi empat itu dan sedikit air!
       “Eh, siapa curi ais kepalku? tanya hati kecilku.
       Aku terus menangis teresak-esak sambil memberitahu kawan di sebelahku.
       “Ais kepal kami hilang, ada orang curi ais kepal kami !!..hu… hu… hu… esakanku semakin kuat!
       Aku terlalu sedih kerana tidak sempat merasa ais kepal itu walaupun sedikit pun. Esakanku semakin kuat dan didengari oleh Cikgu Nur Rahmat. Dia pun memanggil namaku dan bertanyakan mengapa aku menangis.
Aku tidak dapat menjawab kerana terlalu sedih.
       Dengan selamba kawan di sebelahku menjawab, “Cikgu, dia menangis sebab ais kepalnya hilang!
       Mendengarkan jawapan kawanku itu, Cikgu Nur Rahmat dan kawan-kawanku yang lain tertawa berdekah-dekah.
       Aku berhenti menangis, aku kehairanan. Hatiku bertanya, “Mengapa mereka ketawa?”
       Dan tiada sesiapa pun yang menjelaskan kepadaku apa sebenarnya yang telah terjadi. Waktu balik sudah sampai, aku pun mengangkat beg rotanku dan aku lihat banyak air di bawah beg itu.
       “Ohh…ais ni dah jadi air!” kata hati kecilku.
       Tiba-tiba aku mendengar suara Cikgu Nur Rahmat. Dia sudah pun berada di sisi ku tanpa kusedari. Dia berkata,”Ais tu bukannya dicuri orang!”
Aku faham dan aku memandangnya sambil tersenyum malu. Patutlah satu kelas ketawa padaku. Aku begitu naïf sekali.
       Dan gadis kecil yang naïf itu akhirnya menjadi seorang guru. Guru sains pulak tu!!
       Aku tersenyum sendiri bila teringatkan ais kepalku - peristiwa semasa aku berumur 6 tahun lebih.
oleh: Sharifah Intan Thalathiah
http://www.facebook.com/media/set/?set=a.141635392544204.21531.100000932326256
Catat Ulasan