Jumaat, 1 Julai 2011

Buka dan Tutup Sahaja

Mesyuarat Pengurusan Tertinggi jabatan kali kedua bermula tepat jam 9.00 pagi itu. Dengan ini bermakna kali kedua bos baharu kami mempengerusikan mesyuarat bulanan yang diadakan setiap Rabu pertama itu.
      Seperti dalam agenda, ketua baharu kami yang kali pertama berkhidmat dalam institusi perguruan itu memulakan ucapannya. Tidak panjang agenda `Ucapan Pengerusi’ itu. Setelah bercakap tidak sampai 10 ayat, bos kami pun menutup agenda dengan kata-kata “Saya serahkanlah mesyuarat ini kepada Timbalan Pengarah,” katanya. Seperti yang dijangkakan, kami berpandangan sesama sendiri.
      Pandangan ini ada ceritanya. Pada mesyuarat pertama dulu, kami berasa hairan juga apabila beliau terus menyerahkan mesyuarat kepada timbalannya. “Saya baharu dengan institusi ini. Biar saya tahu dulu budayanya,” katanya.
Kami `memaafkannya’ atas alasan itu. Bagaimanapun peristiwa kedua itu tidak dapat kami `terima’ kerana seperti sebelum itu, bos kami itu sanggup duduk bersama-sama dalam mesyuarat yang biasanya bersambung hingga ke petang dan hanya mengambil alih mesyuarat pada agenda penangguhan mesyuarat.
Sejak itu kami sering mengusik sinis sesama kami `buka dan tutup saja ke?’.
      “Kau jumpalah bos di pejabatnya esok. Beritahu dia, dia kena pengerusikan mesyuarat sepenuhnya. Kau saja yang boleh buat kerja ini,” beberapa rakan menemuiku sewaktu minum petang. Aku bersetuju.
      Bagaimanapun sebelum sempat ke bilik pengarah keesokan paginya, salah seorang ketua jabatan menelefonku. “Aku fikir kau tak payah jumpa boslah. Dia tu orang baik. Tak sampailah hati aku tengok dia kena tegur,” katanya pendek.
      Tidak seperti sebelumnya apabila menghadapi suasana seperti ini, aku membatalkan hasrat bertemu bos. Hal ini bukan kerana apa. Boleh dikatakan hampir kesemua staf menyifatkan bos kami orang baik. Selain sifat ramah dan lemah-lembutnya, dia tidak pernah menyusahkan sesiapa.
      “Biarkan sajalah! Dia pun tak lama di sini. Tak sampai setahun lagi bersaralah.” Itulah antara rumusan kawan-kawan Majlis Pengurusan Tertinggi.
      Sehinggalah pada mesyuarat kali ke-21, bos kami tetap dengan pegangannya: `buka dan tutup mesyuarat’ sahaja.

Tiada ulasan: