Halaman

Jumaat, 1 Julai 2011

Orang Di Atas

Tiada siapa yang tidak kenal Leman di Kampung Durian Lima Batang. Dari budak kecil; lelaki dan perempuan hinggalah imam kampung, ada sahaja cerita mengenai Leman. Kalaulah Dol, samseng Kampung Dusun sudah dikatakan jahat, jahat lagi Leman.
       Bagaimanapun jahat Leman, jahat bersebab. Ini yang mungkin sebahagian orang kampung tidak tahu, khususnya kanak-kanak. “Leman tu terlebih tenaga. Badan gemuk pula,” itu antara yang pernah dikatakan emaknya apabila emak Bibah mengadu. Macam mana tidak mengadu? Subuh-subuh pekung lagi Leman sudah terhendap-hendap di belakang pokok kundang, mengintai Bibah mandi di perigi.
       Bagaimanapun satu perkara yang orang kampung salut kepadanya kerana sifat lurusnya. Leman yang berusia sekitar 18 tahun itu tidak pandai menipu. Kadang-kadang terlampau lurus bendul pula.
       Suatu petang ketika berhasrat menggunakan tenaganya yang terlebih, Leman ke dusun Pak Mail. Digegarnya dahan manggis sekuat-kuat hati, hinggakan daunpun turut gugur. Dia membiarkan sahaja buah-buah yang sudah berwarna hitam pekat itu bergelimpangan di sekitar pokok.
       “Bilo dah habih nanti, sekali pungut,” bisik hatinya.
       Ketika mengelamun seketika di atas pokok, Leman terdengar suara mengilai riang. “Habis aku! Pak Mail pasti tidak memberi peluang ke-18,” getus hatinya. Dia ingat benar, sudah 17 kali dia terserempak Pak Mail ketika mencuri buah. “Sekali lagi den jumpo, tak tahulah…,” bentak Pak Mail berang.
       Leman cuba mencari dahan yang berdaun lebat. Dia cuba bersembunyi di situ, tapi suara yang didengarnya tadi semakin hampir. Kerisauannya segera hilang apabila dia terlihat, tubuh yang bersuara itu bukannya Pak Mail.
       Sepasang teruna dara kelihatan olehnya dari atas pokok sedang menuju ke arah pokok manggis itu. Tanpa berlengah masa, kedua-duanya melakukan mukadimah kerja dikutuk Tuhan. Hanya beberapa minit, mukadimah berlangsung; terus masuk Bab 5.
       Leman kusyuk memerhati tetapi segera menyorokkan diri kerana budak perempuan itu kedengaran menangis. Terdengarlah beberapa dialog seperti yang pernah ditontonnya dalam tv sebelum ini.
       “Abang perlu bertanggungjawab! Abang yang memulakan!,” katanya sambil menghentak-hentakkan kaki.
       “Macam inilah Kiah! Abang memang tidak dapat buat apa-apa lagi. Semuanya sudah terlanjur.”
       Dalam suara pasrah, Si Teruna terus kedengaran bersuara jelas dan yakin.
       “Kita serahkan sahajalah perkara ini kepada Orang Di Atas.”
       Apa lagi, tanpa membuang masa, Leman segera berteriak tanda protes.
       “Apo den lak! Kau yang sodap, kito pula nak dikaitkan,” katanya menyergah kuat sehingga pegangannya pada dahan kecil terlepas.
       Leman jatuh terhempap di atas tubuh pasangan itu dan ketiga-tiganya meninggal dunia.
oleh: Adam Tahir
*Adam Tahir antara DJ popular Negeri FM
         

Catat Ulasan